
LIMA, 2 Ogos- Sekurang-kurangnya 13 orang maut selepas sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong untuk melihat tapak arkeologi terkenal Garisan Nazca, Peru terhempas pada Sabtu.
- Kejadian berlaku selepas pukul 1.00 tengah hari, tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang Pisco, kira-kira 240 kilometer dari ibu negara.
- Berdasarkan keadaan nahas, pihak berkuasa melaporkan tiada mangsa terselamat.
- Pasukan bomba dan polis dikerahkan; tapak kejadian dipenuhi serpihan pesawat yang terbakar.
- Punca masih belum diketahui; siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan awam Peru.
Polis Peru berkata mangsa terdiri daripada 11 penumpang dan dua kru pesawat.
“Kami menerima maklumat bahawa 11 penumpang dan dua anggota kru telah meninggal dunia,” kata Major Polis, Jorge Andrade kepada pemberita dari lokasi kejadian di selatan negara itu.
Kejadian berlaku selepas pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan, tidak lama selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang di Pisco, kira-kira 240 kilometer ke selatan ibu negara Lima.
Andrade berkata berdasarkan keadaan nahas, tiada mangsa terselamat dilaporkan.
Setakat ini, empat mayat telah ditemukan.
Punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan akan dijalankan pihak berkuasa penerbangan awam Peru.
Pasukan bomba dan polis dikerahkan ke lokasi kejadian yang dipenuhi serpihan pesawat terbakar, menurut rakaman yang dikongsi media tempatan menerusi Facebook.
Lapangan terbang Pisco mengendalikan banyak penerbangan pesawat kecil yang membawa pelancong khususnya pelawat asing untuk menyaksikan Garisan Nazca yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) -AFP