
SANAA, 2 Ogos- Kumpulan Huthi di Yaman pada Sabtu menafikan dakwaan bahawa pihaknya mahu mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui Selat Bab al-Mandeb.
- Menteri Penerangan Moammar al-Eryani mendakwa Huthi cuba mengenakan caj laluan terhadap kapal di Selat Bab al-Mandeb.
- Selat Bab al-Mandeb penting bagi pengangkutan minyak dan perdagangan global, menghubungkan Laut Merah, Lautan Hindi dan Terusan Suez.
- Bulan lalu Huthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mendakwa menyerang kapal tangki serta kemudahan berkaitan.
Penafian itu dibuat selepas Menteri Penerangan Yaman, Moammar al-Eryani mendakwa kumpulan berkenaan cuba mengenakan caj laluan terhadap kapal yang melalui selat tersebut.
Agensi berita Saba yang bersekutu dengan Huthi menyiarkan kenyataan daripada Pusat Penyelarasan Operasi Kemanusiaan (HOCC) menafikan laporan berkenaan.
“HOCC menegaskan bahawa laluan melalui Selat Bab al-Mandeb adalah percuma,” menurut kenyataan agensi berkenaan.
Selat Bab al-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah dengan Lautan Hindi serta laluan ke Laut Mediterranean melalui Terusan Suez merupakan laluan penting bagi pengangkutan minyak dan perdagangan global.
Bulan lalu, Huthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu dalam pasaran minyak.
Kumpulan itu turut mendakwa melakukan beberapa serangan terhadap kapal tangki minyak dan kemudahan berkaitan sejak pengumuman tersebut. -AFP