
HAVANA, 2 Ogos – Havana dan beberapa wilayah barat Cuba terus bergelap pada Sabtu susulan kegagalan terbaharu grid kuasa di negara itu.
- Lima daripada 15 wilayah mengalami gangguan bekalan elektrik akibat kegagalan sebahagian grid nasional.
- Kekurangan bahan api menyukarkan penggunaan penjana diesel dan meningkatkan kerentanan grid kepada gangguan.
- Sekatan AS dan pengurangan bekalan minyak, selain pengunduran syarikat asing, memperburuk krisis elektrik negara.
Syarikat elektrik nasional Cuba (UNE) menerusi platform X memaklumkan, lima daripada 15 wilayah di negara itu terputus bekalan elektrik akibat kegagalan sebahagian grid elektrik yang berlaku pada 6.07 petang, waktu tempatan (2207 GMT).
Cuba yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh beberapa dekad semakin meruncing susulan sekatan bekalan bahan api yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, (AS) Donald Trump, pada Januari lalu.
Menurut UNE, kekurangan bahan api menyebabkan grid elektrik nasional lebih terdedah kepada gangguan bekalan, selain menyukarkan penggunaan penjana kecemasan yang lazimnya bergantung kepada bahan api diesel.
Sejak beberapa minggu lepas, gangguan bekalan elektrik di Havana dilaporkan berlanjutan lebih 30 jam, manakala di beberapa kawasan lain di negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 9.4 juta penduduk itu, bekalan elektrik terputus selama beberapa hari.
Menurut rekod, sejak awal tahun lalu, Cuba berdepan lima kali gangguan bekalan elektrik di seluruh negara, dengan tiga daripadanya berlaku pada Julai dalam tempoh 10 hari.
Manakala, sejak penghujung 2024, sebanyak 10 kali gangguan elektrik berlaku.
Hubungan antara Washington dengan Havana semakin tegang sejak awal 2026 terutama selepas tentera AS menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dari Caracas ke Amerika Syarikat pada awal Januari untuk berdepan pertuduhan di mahkamah persekutuan.
Maduro sebelum ini dikenali sebagai sekutu rapat Cuba.
Washington hanya membenarkan ketibaan sebuah kapal tangki Rusia yang membawa 100,000 tan minyak mentah pada Mac lalu, namun bekalan itu dilaporkan telah habis digunakan.
Selain sekatan bekalan minyak, pentadbiran Presiden Trump turut memperketat sekatan ke atas syarikat milik kerajaan Cuba, sekali gus mendorong banyak syarikat asing menghentikan operasi mereka di negara itu.
AS juga telah mendakwa bekas Presiden Raul Castro, adik kepada mendiang pemimpin revolusi Fidel Castro, berhubung insiden menembak jatuh dua pesawat awam kira-kira tiga dekad lalu.
Pada penghujung Jun, Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez, berkata tiada sebarang kemajuan dicapai dalam rundingan dua hala yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu. – AFP