
SEREMBAN, 1 Ogos – Pelaksanaan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diakui membantu pemilih berdaftar terutama warga emas.
- Proses semakan: serahkan MyKad, petugas semak nombor giliran dan kad, imbas MyKad, kemudian pengundi mencelup jari.
- Pengundi melapor sistem lebih mudah dan mempercepat urusan semakan maklumat di saluran pengundian.
- OCR-VA mengimbas MyKad, merakam kehadiran masa nyata dan menyemak data terhadap pangkalan data rasmi SPR tanpa merekod pilihan pengundi.
Salah seorang pengundi warga emas, Sabiah Lasim berkata, proses semakan menggunakan sistem itu sangat mudah dan tersusun.
“Mula-mula kita beri kad pengenalan kepada petugas, kemudian dia semak nombor giliran dan nombor kad pengenalan. Selepas itu, kad pengenalan diimbas sebelum kita diminta mencelup jari,” katanya.
Azizan Ishak pula berkata, penggunaan sistem berkenaan memudahkan urusan pengundi.
“Semua okey, tiada apa-apa masalah. Bagi saya, sistem ini lebih senang daripada sebelum ini kerana sekejap sahaja semuanya selesai,” katanya.
Seorang lagi pengundi, Samad Tamin menyifatkan, sistem baharu itu membantu mempercepat proses semakan maklumat pengundi.
“Mula-mula petugas tengok kad pengenalan, kemudian semak nombor kad pengenalan sebelum diserahkan kepada petugas seterusnya. Selepas itu, barulah celup jari. Tidak lama,” katanya.
Sistem OCR-VA melibatkan pengimbasan maklumat MyKad pemilih secara digital di saluran pengundian, selain perekodan data kehadiran mereka secara masa nyata.
Maklumat pengundi disemak berdasarkan pangkalan data rasmi SPR.
SPR menegaskan sistem tersebut tidak merakam atau merekod calon pilihan pengundi.