Kebakaran hutan memburuk di Turkiye, angin kencang sukarkan operasi pemadaman

Kebakaran merebak pantas memaksa penduduk dipindahkan./ REUTERS

AYDIN, 1 Ogos – Anggota bomba terus bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan besar di daerah Cine, wilayah Aydin, barat daya Turkiye, ketika angin kencang dan kelembapan udara yang rendah menyebabkan api merebak dengan pantas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi gabungan udara dan darat: 9 helikopter, 3 pesawat pemadam, 42 jentera dan 9 lori tangki air.
  • 65 struktur rosak teruk atau musnah, kebanyakannya di Antalya dan Mugla; Mugla kehilangan kira-kira 5,000 hektar hutan.
  • EFFIS merekod 71 kebakaran tahun ini memusnahkan lebih 25,700 hektar; saintis kaitkan peningkatan dengan pemanasan global.

Operasi pemadaman melibatkan aset udara, termasuk helikopter yang melakukan siraman air ke kawasan kebakaran, manakala kepulan asap tebal menyelubungi kawasan hutan yang terbakar.

Menteri Perhutanan Turkiye, Ibrahim Yumakli berkata, dalam tempoh tiga hari sahaja, sebanyak 80 kebakaran hutan dilaporkan, dengan angin yang bertiup melebihi 50 kilometer sejam menjadi cabaran utama kepada operasi pemadaman.

“Pihak berkuasa menerima laporan 218 kebakaran sejak Rabu lalu, dengan 213 daripadanya berjaya dipadam sepenuhnya, manakala lima lagi masih aktif.

“Angin kencang menjadi faktor utama yang menyukarkan usaha mengawal kebakaran meskipun operasi pemadaman dijalankan secara bersepadu melalui udara dan darat,” katanya.

Menurutnya lagi, satu lagi kebakaran baharu turut dikesan di daerah Susurluk, kira-kira 200 kilometer di timur laut Izmir, manakala risiko kebakaran dijangka berterusan sehingga minggu depan.

Di Cine, kebakaran yang bermula pada Khamis merebak pantas ke kawasan penempatan penduduk, menyebabkan Kampung Dutluoluk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ratusan anggota bomba bekerja sepanjang malam bagi mengawal kebakaran serta menyelamatkan hampir 1,000 ekor ternakan.

Operasi turut dibantu sembilan helikopter, tiga pesawat pemadam kebakaran, 42 jentera bomba dan sembilan lori tangki air.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Murat Kurum berkata, 65 struktur mengalami kerosakan teruk atau musnah sepenuhnya, kebanyakannya di wilayah Antalya dan Mugla.

Di Mugla sahaja, sekurang-kurangnya 5,000 hektar kawasan hutan dilaporkan musnah.

Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), sebanyak 71 kebakaran hutan direkodkan di Turkiye sepanjang tahun ini, memusnahkan lebih 25,700 hektar kawasan.

Saintis pula menjelaskan pemanasan global menyebabkan rantau Mediterranean mengalami musim panas yang semakin panas dan kering, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan setiap tahun.

Walaupun kebakaran hutan bukan sesuatu yang luar biasa di rantau itu, perubahan corak cuaca akibat perubahan iklim menyebabkan kejadian berkenaan semakin kerap berlaku, selain mengakibatkan kemusnahan yang lebih besar dan memberi kesan lebih serius kepada kehidupan penduduk.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.