
NEW YORK, 1 Ogos – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran fenomena El Nino dijangka bertambah kuat bermula Ogos hingga Oktober ini, sekali gus meningkatkan suhu global melebihi paras normal serta mengubah corak taburan hujan di banyak kawasan dunia.
- Setiausaha Agung PBB menegaskan El Nino kini semakin menguat dan akan memperburuk impak perubahan iklim di seluruh dunia.
- WMO meramalkan El Nino akan mengukuh menjadi fenomena kuat antara Ogos hingga Oktober 2026.
- WMO juga menjangkakan IOD positif, meningkatkan risiko kemarau, banjir dan kebakaran hutan di Lembangan Lautan Hindi.
- Guterres mengutuk kebergantungan bahan api fosil yang menambah kos bencana iklim, ancaman keselamatan tenaga dan ketidakstabilan geopolitik.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, keadaan itu akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang sedang dihadapi dunia.
“El Nino semakin menguat dan menambah tekanan kepada sebuah planet yang sudah pun terbakar.
“Dua bulan lalu saya memberi amaran El Nino sedang menghampiri. Kini ia sudah berada di dalam rumah dan terus meningkatkan suhu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PBB di New York.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), El Nino, iaitu fenomena pemanasan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik, dijangka terus mengukuh menjadi fenomena yang kuat sepanjang tempoh Ogos hingga Oktober 2026.
Pada masa sama, WMO turut menjangkakan berlakunya Indian Ocean Dipole (IOD) positif, iaitu corak iklim yang menyebabkan suhu permukaan laut di bahagian barat Lautan Hindi menjadi lebih panas daripada biasa, manakala bahagian timurnya lebih sejuk.
Gabungan kedua-dua fenomena itu berpotensi memperhebat impak iklim di pelbagai rantau, termasuk meningkatkan risiko kemarau, banjir dan kebakaran hutan, khususnya di kawasan sekitar Lembangan Lautan Hindi.
Guterres berkata, dunia kini berdepan kadar pemanasan yang lebih pantas berbanding usaha menangani krisis iklim.
Beliau turut mengkritik negara dan industri yang masih bergantung kepada bahan api fosil.
“Tidak syak lagi, kos penggunaan bahan api fosil bukan sahaja diukur melalui bencana iklim, malah turut menjejaskan keselamatan tenaga serta mencetuskan ketidakstabilan geopolitik seperti yang sedang berlaku di Asia Barat dan kawasan lain,” katanya. – REUTERS