
SEPANG, 31 Julai – Riyadh Air merancang meningkatkan kekerapan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dengan Riyadh daripada tiga kali seminggu kepada setiap hari dalam tempoh terdekat, didorong permintaan perjalanan yang kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi.
- Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama Riyadh Air di Asia Tenggara kerana potensi laluan yang besar.
- Permintaan dua hala kukuh; pelancong Arab Saudi bercuti, rakyat Malaysia ke Arab Saudi untuk ibadah, perniagaan dan pelancongan.
- Riyadh Air membuka destinasi Jeddah, Dubai dan Kaherah, menyasarkan 100 destinasi menjelang 2030, dengan KL berpotensi menjadi hab kargo serantau.
Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air, Vincent Coste berkata, potensi besar laluan itu turut mendorong pemilihan Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama syarikat penerbangan berkenaan di Asia Tenggara.
Beliau berkata, permintaan perjalanan kukuh dalam kedua-dua arah, dengan pelancong Arab Saudi memilih Malaysia sebagai destinasi percutian, manakala rakyat Malaysia ke negara itu bagi menunaikan ibadah, urusan perniagaan dan pelancongan.
“Kami memulakan penerbangan pertama pada Jun dan telah membuka beberapa destinasi termasuk Jeddah, Dubai dan Kaherah. Kami merancang mengendalikan penerbangan ke 100 destinasi menjelang 2030,” katanya.
Coste ditemui pemberita pada majlis sambutan ketibaan penerbangan sulung Riyadh Air di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Menurutnya, Riyadh Air turut melihat potensi kerjasama dengan Malaysia Airlines bagi memperkukuh kesalinghubungan ke destinasi serantau.
Bagi sektor kargo, laluan berkenaan dijangka mengendalikan penghantaran produk segar dan barangan mudah rosak, manakala Kuala Lumpur berpotensi menjadi hab konsolidasi kargo dari Asia Tenggara ke Arab Saudi.