
KUALA LUMPUR, 31 Julai – 12 negeri di Malaysia kini dikategorikan sebagai negeri menua selepas peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk negeri berkenaan.
- Perak rekod komposisi warga emas tertinggi, 10.8 peratus, kekal negeri dengan populasi paling berusia.
- Umur penengah meningkat kepada 31.7 tahun pada 2026 berbanding 31.3 tahun sebelumnya.
- Jumlah penduduk dianggarkan 34.4 juta pada 2026, dengan kadar pertumbuhan 0.5 peratus.
- Komposisi umur: 65+ meningkat kepada 8.4%, 0-14 turun kepada 21.2%, kumpulan bekerja 15-64 kekal 70.4%.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan Perak merekodkan komposisi penduduk warga emas tertinggi iaitu 10.8 peratus, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai negeri dengan populasi paling berusia.
“Selaras perubahan struktur demografi, umur penengah penduduk Malaysia meningkat kepada 31.7 tahun pada 2026 berbanding 31.3 tahun pada tahun sebelumnya.
”Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.4 juta individu tahun ini berbanding 34.2 juta pada 2025 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus.
”Bilangan penduduk warganegara meningkat kepada 31.0 juta daripada 30.8 juta pada tahun sebelumnya, manakala kadar pertumbuhan penduduk bukan warganegara terus mencatatkan penguncupan pada kadar 0.2 peratus daripada 0.5 peratus tahun lepas,” jelas DOSM.
Dari segi struktur umur pula, komposisi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8.4 peratus pada 2026 berbanding lapan peratus pada 2025, manakala kumpulan umur 0 hingga 14 tahun menurun kepada 21.2 peratus daripada 21.6 peratus.
Sementara itu, komposisi penduduk umur bekerja 15 hingga 64 tahun pula kekal pada 70.4 peratus.
Di peringkat negeri, Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi iaitu 1.2 peratus, mengatasi kadar nasional sebanyak 0.5 peratus, diikuti Kelantan (1.0 peratus), Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang masing-masing berkembang 0.6 peratus.
”Selangor kekal mencatatkan peratusan penduduk tertinggi dengan menyumbang 21.7 peratus daripada keseluruhan populasi negara, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11.0 peratus).
”Sebaliknya, W.P. Labuan dan W.P. Putrajaya mencatatkan peratusan penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus,” menurut DOSM lagi.
DOSM turut melaporkan komposisi penduduk warganegara meningkat kepada 90.2 peratus daripada 90.1 peratus pada 2025, manakala penduduk bukan warganegara menurun kepada 9.8 peratus.
Mengikut etnik, Bumiputera terus membentuk kumpulan terbesar dengan 70.7 peratus daripada jumlah penduduk warganegara, diikuti Cina (22.0 peratus), India (6.5 peratus) dan lain-lain (0.8 peratus).
Dari segi jantina, bilangan penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta manakala perempuan kepada 16.4 juta, namun nisbah jantina keseluruhan kekal pada 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Kepadatan penduduk negara turut meningkat kepada 104 individu bagi setiap kilometer persegi pada 2026 berbanding 103 orang pada 2025.
”Kuala Lumpur kekal sebagai kawasan paling padat penduduk iaitu 8,574 orang bagi setiap kilometer persegi, manakala Sarawak mencatatkan kepadatan terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometerpersegi,”jelas kenyataan itu.