
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Mekanisme sedia ada bagi melindungi hak Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan dasar, penyelarasan program serta penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh.
- Akta Orang Kurang Upaya 2008 menjadi asas perundangan melindungi hak OKU dan menggalakkan penyertaan penuh serta saksama.
- Majlis Kebangsaan bagi OKU menyelaraskan dasar, menasihati kerajaan dan memantau pelaksanaan inisiatif rentas kementerian.
- Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) ditubuhkan untuk merancang dasar, menyelaras program, membangunkan komuniti dan menyampaikan perkhidmatan.
- Penglibatan pelbagai kementerian dan agensi penting untuk pelaksanaan bersepadu agenda kebajikan, pemerkasaan dan penyertaan OKU.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi pengukuhan kapasiti institusi sedia ada serta peningkatan koordinasi antara kementerian dan agensi berkaitan.
Menurutnya, Akta Orang Kurang Upaya 2008 menyediakan asas perundangan yang komprehensif bagi melindungi hak OKU di samping menggalakkan penyertaan mereka secara penuh dan saksama dalam masyarakat.
“Akta ini turut memperuntukkan penubuhan Majlis Kebangsaan bagi OKU yang berperanan menyelaras dasar, menasihati kerajaan dan memantau pelaksanaan inisiatif berkaitan OKU secara rentas kementerian dan agensi.
“Selain itu, kerajaan telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab merancang dasar, menyelaras program, membangunkan komuniti serta menyampaikan pelbagai perkhidmatan kepada golongan OKU,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Isaiah D Jacob pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Jelas beliau, peranan JPOKU melangkaui fungsi pemantauan memandangkan agensi itu turut terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dasar serta penyampaian perkhidmatan kepada komuniti OKU.
Penglibatan pelbagai kementerian dan agensi penting bagi memastikan agenda pembangunan golongan terbabit dilaksanakan secara bersepadu termasuk dari aspek kebajikan pemerkasaan serta penyertaan mereka dalam masyarakat.