
JOHOR BAHRU, 30 Julai – Polis Johor menghantar seramai 318 anggota bagi membantu melancarkan aspek keselamatan dan pengurusan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung Sabtu ini.
- Bantuan sumber manusia digerakkan hari ini dan akan bertugas sehingga dua hari selepas hari pengundian.
- 290 anggota ditugaskan bagi tugas am manakala 28 lagi ditugaskan sebagai anggota trafik.
- Pasukan Simpanan Persekutuan dan pasukan JSJ menerusi Op Cantas siap di pangkalan Johor untuk digerakkan bila perlu.
- PRN Negeri Sembilan akan diadakan 1 Ogos melibatkan pertandingan bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bantuan sumber manusia itu mula digerakkan hari ini dan akan bertugas sehingga dua hari selepas hari pengundian.
Daripada jumlah itu, 290 anggota ditugaskan bagi tugas am, manakala 28 lagi merupakan anggota trafik.
“Selain itu, kita juga mempunyai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas yang kini bersiap sedia di pangkalan Kontinjen Johor dan akan digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor dan Pelepasan Bantuan Sumber Manusia Kontinjen
Johor ke Kontinjen Negeri Sembilan di Dataran Kawad, IPK JOHOR, di sini.
PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini, melibatkan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memilih wakil rakyat yang akan membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.