
PUNCAK ALAM, 27 Julai – Dua sekolah berhampiran lokasi kebakaran bukit di Bandar Puncak Alam, Selangor ditutup sementara atas arahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor susulan insiden kebakaran kawasan berbukit, hari ini.
- Kebakaran melibatkan kawasan bukit dianggarkan seluas 11 ekar, berhampiran premis sekolah.
- Sekolah terlibat: Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam.
- Operasi pemadaman melibatkan BBP Bestari Jaya, BBP Bukit Jelutong, PBS Saujana Utama, 12 anggota JBPM, 4 PBS, 2 PBB.
- Anggota menggunakan pancutan air dari pili bomba dan jentera meriam air PBS; api dipadamkan pada pukul 3 petang selepas pemeriksaan menyeluruh.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Asmawi Hakim Ismail berkata, kebakaran itu melibatkan kawasan berbukit yang dianggarkan seluas 11 ekar dan terletak berhampiran sekolah terbabit.
“Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan kawasan berbukit dan pemadaman dilakukan di bahagian bukit sebelah padang bola sekolah, berhampiran perumahan serta bahagian tepi sekolah,” katanya.
Operasi pemadaman membabitkan anggota dari BBP Bestari Jaya, BBP Bukit Jelutong serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama dengan kekuatan 12 anggota JBPM, empat anggota PBS dan dua anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB).
Beliau berkata, pasukan keselamatan turut menggunakan beberapa aliran pancutan air dengan sumber bekalan daripada pili bomba berhampiran, selain penggunaan jentera meriam air (water cannon) oleh PBS Saujana Utama bagi mengawal kebakaran.
Api berjaya dipadamkan pada pukul 3 petang tadi selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.