76% aduan diterima IPCC berjaya diselesaikan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya – Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 Julai – 76 peratus atau 844 daripada 1,635 aduan yang diterima Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak mula beroperasi pada 2023 hingga 24 Julai lepas berjaya diselesaikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepercayaan masyarakat terhadap IPCC dilihat meningkat berdasarkan penyelesaian aduan sejak penubuhannya.
  • Kebanyakan aduan berkaitan dakwaan tiada maklum balas daripada polis; aduan dinilai mengikut bidang kuasa dan kes rasuah dirujuk SPRM.
  • PDRM menahan 12 anggota disyaki memeras ugut seorang warga asing membabitkan RM2 juta, menunjukkan tindakan tegas terhadap salah laku.

Sekali gus, membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap badan itu semakin meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebanyakan aduan yang diterima melibatkan dakwaan tiada maklum balas diberikan terhadap aduan yang dibuat kepada pihak polis.

“IPCC menerima semua aduan yang dikemukakan orang ramai, namun setiap aduan akan dinilai mengikut bidang kuasa agensi berkaitan. Aduan yang mempunyai unsur rasuah akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, baki aduan yang masih dalam tindakan, melibatkan kes pengadu yang tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan serta mereka yang tidak menerima maklum balas terhadap aduan yang dikemukakan kepada pihak polis.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 anggotanya yang disyaki terlibat dalam kes memeras ugut seorang warga asing membuktikan komitmen pasukan itu untuk mengambil tindakan tegas terhadap salah laku dalam kalangan anggotanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sazalee Adam mengesahkan penahanan 12 anggota polis pelbagai pangkat yang disyaki memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu membabitkan wang berjumlah RM2 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.