Banjir di Tawau pulih sepenuhnya

Foto RTM

TAWAU, 27 Julai – Situasi banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kompleks Sukan Tawau ditutup secara rasmi pukul 2 petang tadi selepas semua penduduk terjejas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seramai 362 penduduk Kampung Tanjung Batu Keramat dibenarkan pulang selepas penilaian agensi mendapati paras air surut dan kediaman selamat.
  • Pihak berkuasa merakamkan penghargaan kepada JKM, APM, PDRM, JBPM, pasukan kesihatan dan sukarelawan atas bantuan operasi bencana.
  • Orang ramai dinasihatkan terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan cuaca masih tidak menentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Soffian Mohd Said, mengesahkan penutupan PPS itu selepas keadaan banjir di daerah berkenaan pulih dan kediaman mangsa disahkan selamat untuk didiami semula.

“Seramai 362 penduduk terjejas banjir dari Kampung Tanjung Batu Keramat dibenarkan pulang setelah penilaian yang dijalankan oleh agensi berkaitan mendapati paras air telah surut, cuaca berada dalam keadaan baik serta tiada lagi risiko yang menghalang mereka kembali ke rumah,” katanya.

Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi pengurusan bencana, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan kesihatan serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu mangsa sepanjang tempoh bencana.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.