KPM komited perkukuh ekosistem pendidikan Islam melalui SABK

Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (dua kanan) ketika melakukan lawatan ke SMA Sungai Petani, Kedah hari ini/ Foto: Bahagian Pendidikan Islam KPM

SUNGAI PETANI, 27 Julai- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memperkasa Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) melalui sokongan pembangunan infrastruktur, penyelenggaraan serta peningkatan kualiti pengurusan sekolah.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan Islam melalui pendekatan kunjung bantu, penyelesaian isu secara langsung dan kerjasama strategik.
  • Lawatan ke SMA Sungai Petani memberi fokus kepada pengurusan sekolah, khususnya pengurusan asrama sebagai komponen penting kehidupan murid.
  • Penilaian kemudahan, kebajikan penghuni asrama, penyelenggaraan dan tadbir urus dilaksanakan untuk memastikan persekitaran pembelajaran selamat dan kondusif.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPM, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata kementerian kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan Islam negara menerusi pendekatan kunjung bantu, penyelesaian isu secara langsung serta kerjasama strategik bersama semua pihak.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan setiap SABK terus berfungsi sebagai institusi pendidikan berkualiti, mampan serta mampu melahirkan generasi rabbani yang cemerlang daripada segi sahsiah, akademik dan kepimpinan.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Sungai Petani, di sini hari ini.

Lawatan yang turut disertai Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Omar Salleh itu memberi fokus kepada aspek pengurusan sekolah khususnya pengurusan asrama yang menjadi antara komponen penting dalam kehidupan murid di SABK.

Penilaian terhadap kemudahan, kebajikan penghuni asrama, penyelenggaraan serta tadbir urus dilaksanakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan memenuhi aspirasi KPM.

SMA Sungai Petani merupakan antara SABK yang menerima bantuan dan sumbangan secara konsisten daripada KPM sejak termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) pada 2004.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.