
WASHINGTON, 27 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menghentikan sementara serangan terhadap Iran bagi memberi lebih ruang kepada usaha diplomasi, menurut Duta Besar AS ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz.
- Waltz berkata Trump memberi peluang kepada rundingan diteruskan, tetapi beliau tidak memperincikan bentuk rundingan.
- Pertempuran mereda selepas Pentagon menghentikan operasi pengeboman; tiada laporan serangan balas Iran terhadap jiran.
- Pegawai kanan pentadbiran kata diplomasi ialah pilihan utama Trump, tetapi beliau tunjukkan tindakan jika Iran tidak serius.
- AS kekalkan pengukuhan aset ketenteraan di rantau sambil mengadakan libat urus dengan Oman, Iran dan pihak lain pada semua peringkat.
Dalam temu bual bersama Fox News pada Ahad, Waltz berkata Trump memberi peluang kepada rundingan untuk diteruskan.
“Beliau memberi ruang kepada rundingan dan membenarkannya berlangsung,” katanya namun Waltz tidak memperincikan bentuk rundingan yang sedang dijalankan.
Sejak hujung minggu, pertempuran antara AS dan Iran dilihat mereda apabila Pentagon menghentikan operasi pengeboman selepas 13 malam serangan yang semakin memuncak, selain tiada laporan mengenai serangan balas Iran terhadap negara jirannya.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Trump pada Sabtu berkata, Presiden AS itu sentiasa menegaskan bahawa diplomasi merupakan pilihan utamanya.
Namun, katanya, Trump telah menunjukkan kepada Iran tindakan yang bakal diambil sekiranya Tehran gagal menyertai rundingan secara serius.
Waltz turut memaklumkan bahawa walaupun AS terus memperkukuh kehadiran aset ketenteraannya di rantau berkenaan, pentadbiran Trump tetap memberi peluang kepada usaha diplomasi.
“Kami berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan lebih banyak aset ketenteraan sedang dihantar ke rantau itu. Namun, Presiden memberi ruang kepada rundingan.
“Kami telah mengadakan libat urus dengan Oman, Iran dan beberapa lagi pihak yang terlibat dalam rundingan di semua peringkat, daripada kepimpinan tertinggi hinggalah ke peringkat teknikal sejak beberapa minggu lalu, khususnya dalam beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.- REUTERS