Program DPP dimulakan dengan penghuni di depoh imigresen

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

TANJUNG PIANDANG, 25 Julai – Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) akan dimulakan melibatkan penghuni depoh imigresen sebagai kumpulan pertama bagi membolehkan kerajaan memiliki pangkalan data sendiri mengenai pelarian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses mengumpul maklumat asas termasuk identiti, biometrik dan latar belakang pelarian sebelum menjalani tapisan keselamatan.
  • Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan mempunyai pangkalan data sendiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada UNHCR.
  • Semua individu didaftarkan akan melalui verifikasi serta tapisan oleh JIM, PDRM dan agensi berkaitan sebelum status pelarian diputuskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses itu melibatkan pengumpulan maklumat asas termasuk identiti, biometrik dan latar belakang pelarian sebelum melalui tapisan keselamatan.

Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan mempunyai pangkalan data sendiri mengenai pelarian, sekali gus tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada rekod yang dikendalikan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Pada masa ini, kita tidak mempunyai sistem pendataan sendiri kerana ia dilaksanakan UNHCR. UNHCR hanya memberikan anggaran jumlah, sama ada 190,000 atau 200,000 orang.

“Namun, jika kita melaksanakan pendataan sendiri, kita akan mempunyai maklumat lengkap termasuk nama, alamat, umur, jantina dan kemahiran mereka. Malah, data biometrik seperti pengecaman wajah dan imbasan iris juga akan direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Program Komuniti Korektif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Penjara Malaysia di Dewan PDT Tanjung Piandang di sini.

Ketika ini terdapat kira-kira 21,000 penghuni depoh imigresen termasuk sekitar 4,000 yang dikenal pasti mempunyai status pelarian, namun masih perlu disahkan oleh kerajaan.

Semua individu yang didaftarkan akan melalui proses verifikasi serta tapisan keselamatan Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sebelum status pelarian mereka diputuskan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.