
BEIJING, 25 Julai – Pihak berkuasa telah memindahkan lebih 20,000 penduduk dan menggantung perkhidmatan kereta api di selatan China ketika Taufan Noul semakin menghampiri, sekali gus membawa ancaman hujan lebat dan angin kencang.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China, taufan itu dijangka melanda kawasan pantai yang merangkumi Hong Kong hingga ke wilayah Guangdong antara petang Sabtu dan pagi Ahad
Pusat berkenaan mengekalkan amaran taufan tahap jingga pada Sabtu, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem empat peringkat negara itu, selepas memberi amaran bahawa sebahagian Guangdong dan wilayah jiran Fujian akan mengalami angin kencang serta hujan lebat.
Lebih 20,000 penduduk telah dipindahkan di Guangdong,” menurut penyiar kerajaan CCTV dalam laporannya.
“Kapal nelayan yang beroperasi di laut di wilayah itu telah kembali ke pelabuhan untuk berlindung daripada ribut,” katanya.
Guangdong akan menggantung sebahagian perkhidmatan kereta api pada pagi Sabtu, manakala semua perkhidmatan kereta api di wilayah itu akan dihentikan pada Ahad.
Sekolah-sekolah di bandar Chaozhou, Guangdong, diarahkan menggantung aktiviti di kampus.
Cuaca ekstrem telah melanda selatan dan tengah China bulan ini, dengan 39 orang maut apabila Taufan Maysak mencetuskan banjir dahsyat di Guangxi.
Maysak turut membawa ribut petir dan angin kencang yang mengorbankan 11 orang serta mencederakan 331 yang lain di wilayah tengah Hubei.
Para saintis memberi amaran bahawa tahap dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem global akan meningkat apabila bumi terus memanas akibat pelepasan bahan api fosil.
China merupakan negara pengeluar terbesar gas rumah hijau di dunia, namun negara itu juga merupakan kuasa utama tenaga boleh baharu global dan menyasarkan untuk menjadikan ekonomi neutral karbon menjelang 2060. – AFP