
YAN, 25 Julai – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) memperuntuk RM2 juta bagi melancarkan Sahabat Brand, jenama baharu yang menyasarkan sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) produk usahawan anggotanya menembusi rangkaian kedai runcit terpilih dan pasaran arus perdana menjelang penghujung tahun ini.
- Sahabat Brand berfungsi sebagai platform pengedaran dan pengkomersialan berpusat untuk usahawan mikro anggota Koop Sahabat.
- Produk yang memenuhi piawaian kualiti dan pembungkusan akan dipasarkan melalui ekosistem perniagaan dan rangkaian Kedai Sahabat.
- Keuntungan jualan dikembalikan kepada lebih 466,000 anggota melalui agihan dividen dan program kebajikan.
- Inisiatif menegaskan peranan koperasi sebagai pemangkin keusahawanan, memupuk kerjasama anggota dan meningkatkan daya saing perniagaan.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, inisiatif itu mencerminkan peranan koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan keusahawanan dan pengukuhan ekonomi komuniti.
“Kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa koperasi merupakan antara wadah penting untuk membangunkan perniagaan perlu terus dipupuk. Melalui koperasi, rakyat dapat bergerak bersama-sama bagi memperkukuh perniagaan masing-masing.
“Pada masa sama, konsep berkoperasi bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota, malah menjadi kekuatan yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sahabat Brand sempena Program KS Jelapang Padi Run 2026 di Pantai Murni di sini.
Sahabat Brand berfungsi sebagai platform pengedaran dan pengkomersialan berpusat bagi produk usahawan mikro dalam kalangan anggota Koop Sahabat.
Produk yang memenuhi piawaian kualiti dan pembungkusan akan dipasarkan menerusi ekosistem perniagaan serta rangkaian Kedai Sahabat, manakala keuntungan hasil jualan akan dikembalikan kepada lebih 466,000 anggota melalui agihan dividen dan pelbagai program kebajikan.
Pada peringkat awal, Sahabat Brand memberi tumpuan kepada produk makanan terproses, bahan masakan tradisional serta produk bernilai tambah yang mempunyai potensi tinggi di pasaran.