
AYER KEROH, 25 Julai – Kira-kira 1,000 nelayan berdaftar di Melaka bakal dibekalkan dengan peranti teknologi sistem penentu kedudukan global (GPS) dan Peranti Pengesan Ikan (Fish Finder) selewat-lewatnya penghujung Ogos ini.
- Peruntukan kira-kira RM1 juta disediakan untuk inisiatif bantuan kepada nelayan.
- Inisiatif kerajaan negeri bertujuan meningkatkan pendapatan golongan nelayan.
- Menggunakan teknologi bagi membantu nelayan mengesan lokasi ikan dengan lebih tepat.
- Semua nelayan laut, nelayan darat dan awak-awak di Melaka kini dilindungi PERKESO bermula tahun ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta.
Beliau berkata, inisiatif itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri bagi meningkatkan pendapatan golongan itu.
“Kita tengah tunggu proses operator untuk hantar kepada kita yang dijangka selewat-lewatnya penghujung bulan depan. Kita nak bantu nelayan untuk menambahkan pendapatan mereka dengan menggunakan teknologi yang sedia ada untuk mereka tahu lokasi ikan yang lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
Tambah Datuk Dr Akmal, bermula tahun ini juga, semua nelayan laut, darat mahupun awak-awak di Melaka turut menerima perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).