
IPOH, 25 Julai – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.
- 239 ahli Pengakap menerima penganugerahan bagi mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan, disiplin dan khidmat bakti dalam pergerakan.
- Persekutuan Pengakap Malaysia memasuki fasa transformasi untuk kekal relevan, progresif dan berdaya saing menghadapi cabaran masa hadapan.
- Kuala Lumpur ditetapkan sebagai ibu pejabat Biro Pengakap Sedunia, memperkukuh kedudukan negara dan membuka ruang pertukaran kepakaran serta perkongsian amalan terbaik.
- Gusti Kanjeng Ratu Mangkubumi dari Yogyakarta menerima Bintang Semangat Rimba Emas atas sumbangan memperkukuh hubungan kepengakapan serantau.
Seramai 239 ahli Pengakap menerima penganugerahan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan, disiplin serta khidmat bakti dalam pergerakan berkenaan.
Ketua Pengakap Negara, Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin ketika berucap memaklumkan Persekutuan Pengakap Malaysia kini memasuki fasa transformasi baharu bagi memastikan gerakan itu kekal relevan, progresif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa hadapan.
“Kedudukan negara di pentas dunia turut diperkukuh apabila Kuala Lumpur menjadi ibu pejabat Biro Pengakap Sedunia. Ini meletakkan Malaysia di tengah-tengah jaringan kepengakapan global.
“Sekali gus membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, perkongsian amalan terbaik dan kerjasama yang luas dengan keluarga Pengakap dunia”katanya.
Tambahnya, penjenamaan semula logo serta pengenalan pakaian seragam baharu bukan sekadar perubahan imej, sebaliknya mencerminkan kesiapsiagaan Pengakap Malaysia membawa aspirasi dan hala tuju baharu.
Dalam istiadat sama, Ketua Kwartir Daerah Istimewa Yogyakarta, Gusti Kanjeng Ratu Mangkubumi Hamemayu Hayuning Bawono Langgeng ing Mataram menerima Bintang Semangat Rimba Emas (BSR-E) atas sumbangan memperkukuh hubungan kepengakapan serantau.