Lebih 80,000 dipindahkan akibat kebakaran hutan di Perancis, Sepanyol

Helikopter bomba menggugurkan air bagi memadam kebakaran hutan di kawasan Cebreros, berhampiran Avila, kira-kira 80 kilometer di barat Madrid/ AFP

LÈGE-CAP-FERRET, 25 Julai- Lebih 80,000 penduduk dan pelancong dipindahkan atau diarahkan meninggalkan kediaman selepas kebakaran hutan melanda barat daya Perancis dan tengah Sepanyol ketika pihak berkuasa meningkatkan operasi memadam kebakaran yang merebak akibat angin kencang serta keadaan kemarau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Di Perancis, kira-kira 44,000 penduduk meninggalkan semenanjung Cap Ferret selepas laluan utama terancam oleh kebakaran.
  • Lebih 50 rumah musnah; sekitar 40 anggota bomba cedera daripada 1,000 yang bertugas.
  • Di Sepanyol, kira-kira 40,000 penduduk wilayah Madrid diarahkan berpindah atau kekal di rumah; dua kebakaran utama bergabung.
  • Kesatuan Eropah menghantar bantuan udara: empat pesawat pengebom air ke Sepanyol dan tiga ke Perancis.

Di Perancis, kira-kira 44,000 orang meninggalkan semenanjung Cap Ferret di selatan Bordeaux selepas laluan utama keluar dari kawasan itu terancam akibat kebakaran.

Sebanyak 27 bot membawa keluar ratusan penduduk, manakala lebih 50 rumah musnah dalam kebakaran berkenaan.

Dalam masa sama, sekurang-kurangnua 40 daripada 1,000 anggota bomba yang bertugas dilaporkan cedera.

Pihak berkuasa turut mengarahkan lebih 31,000 penduduk berpindah dari rumah dan tapak perkhemahan di wilayah Landes.

Perdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu memanggil mesyuarat krisis bagi menyelaras tindakan susulan terhadap kebakaran yang terus merebak.

Sementara itu di Sepanyol, kira-kira 40,000 penduduk di wilayah Madrid diarahkan berpindah atau kekal di rumah sejak Rabu susulan kebakaran hutan yang mengancam kawasan pinggir bandar.

Dua daripada tiga kebakaran utama di barat Madrid bergabung menjadi satu kebakaran besar yang menuju ke bandar Navas del Rey, kira-kira 50 kilometer dari ibu negara.

“Kita sedang melalui situasi dramatik, bukan sahaja di beberapa wilayah Sepanyol tetapi juga di kawasan negara jiran,” kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Kesatuan Eropah (EU) menghantar bantuan selepas permintaan daripada Perancis dan Sepanyol termasuk empat pesawat pengebom air ke Sepanyol dan tiga ke Perancis.

Kebakaran di Cap Ferret dan sekitar Biscarrosse di Perancis telah memusnahkan lebih 13,500 hektar kawasan, manakala kira-kira 6,000 hektar lagi musnah di wilayah Madrid. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.