Sindiket lombong Bitcoin curi bekalan elektrik tumpas, TNB rugi hampir RM70,000

Mesin perlombongan mata wang kripto yang dirampas dalam operasi di Johor/Foto RTM

JOHOR BAHRU, 24 Julai – Polis Johor menumpaskan sindiket perlombongan mata wang kripto yang dipercayai mencuri bekalan elektrik menerusi sambungan haram dalam operasi di empat premis sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Kulai pada 22 hingga 23 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • TNB mengalami kerugian dianggarkan RM67,502.30 sebulan akibat operasi perlombongan kripto menggunakan sambungan elektrik haram.
  • Tiga lelaki berusia 26 hingga 46 tahun termasuk seorang pengurus premis dan dua juruteknik ditahan.
  • Polis merampas 71 mesin perlombongan, lima komputer, pelbagai peralatan serta dua kenderaan dalam serbuan.
  • Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kegiatan itu dianggarkan menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian hampir RM70,000 sebulan.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, tiga lelaki berusia antara 26 hingga 46 tahun yang terdiri daripada seorang pengurus premis dan dua juruteknik ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Sindiket ini menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto dengan menggunakan sambungan elektrik secara haram tanpa melalui meter yang sah milik TNB. Modus operandi itu membolehkan mereka menjalankan operasi tanpa perlu membayar bil elektrik mengikut tarif sebenar.

“Hasil semakan TNB mendapati kegiatan di empat premis tersebut yang beroperasi selama sebulan mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM67,502.30,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 71 mesin perlombongan mata wang kripto, lima unit komputer, pelbagai peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan serta dua buah kenderaan.

Ketiga-tiga suspek direman sehingga 26 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.