
LABUAN, 24 Julai– LABUANfm membuka studio mini sempena penganjuran Road To MAHA 2026 bagi membolehkan siaran radio dijalankan secara langsung dari lokasi program.
- Konsep Radio di Lokasi meningkatkan interaksi pendengar dengan penyampai dan tetamu jemputan LABUANfm.
- Pengunjung melihat proses penyiaran dan menikmati pengalaman baharu melalui siaran secara langsung di luar studio.
- Inisiatif memperluas hebahan Road To MAHA 2026 serta meningkatkan sokongan pendengar menerusi platform radio dan digital.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Howard Martin Kim Sung @ Cornelius berkata, konsep Radio di Lokasi berjaya meningkatkan interaksi pendengar dengan penyampai dan tetamu jemputan LABUANfm.
Inisiatif berkenaan juga memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri proses penyiaran radio.
“Data yang kami terima menunjukkan sokongan terhadap LABUANfm terus meningkat, sama ada menerusi media sosial, maklum balas pendengar kepada konti mahupun kehadiran secara fizikal di lokasi program,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Road To MAHA 2026 di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Sepanjang empat hari penganjuran, LABUANfm membawakan pelbagai pengisian khas termasuk temu bual bersama ketua dan wakil agensi kerajaan, usahawan serta peserta pameran.
Turut menjadi tumpuan ialah program Bicara Eksklusif Bersama yang julung kali disiarkan secara langsung di luar studio, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pendengar dan pengunjung.
Inisiatif itu turut memperluaskan hebahan mengenai Road To MAHA 2026 kepada pendengar di Labuan dan seluruh negara menerusi platform radio serta digital.
Pendekatan itu selaras dengan usaha RTM mendekatkan penyiaran awam dengan masyarakat.