
MARUDI, 24 Julai – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi perahu karam di Long Selatong, Sungai Baram berakhir hari ini, selepas mangsa terakhir berjaya ditemukan.
- Ceria Anak Dullah, 43, ditemukan orang awam pada pukul 5.00 pagi di Long Miri, kira-kira 94 kilometer dari lokasi kejadian.
- Dengan penemuan mangsa terakhir, kesemua empat mangsa insiden perahu karam disahkan meninggal dunia.
- Operasi SAR melibatkan lima anggota BBP Marudi, Unit K9 AP Bella, PDRM dan KKM, ditamatkan selepas tiga hari pada pukul 11.30 pagi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Bomba dan Penyelamat Sarawak, mangsa Ceria Anak Dullah, 43 tahun, ditemukan orang awam pukul 5.00 pagi di kawasan Long Miri, kira-kira 94 kilometer dari lokasi kejadian.
Pasukan SAR yang menerima maklumat penemuan mangsa pada pukul 7.50 pagi segera bergerak ke lokasi sebelum tiba di tebing sungai pada pukul 11.29 pagi.
Dengan bantuan bot milik orang awam, jasad mangsa di bawa ke tebing sungai untuk tindakan selanjutnya.
Dengan penemuan mangsa terakhir itu, kesemua empat mangsa insiden perahu karam berkenaan disahkan meninggal dunia.
Mangsa lain ialah Joshua Uken Mathew, 38 tahun, anaknya Jovian Jangin Joshua, 4 tahun, ditemukan pada Rabu, manakala Jonathan Nyurang Lusut, 45 tahun, ditemukan pada Khamis.
Operasi SAR melibatkan lima anggota BBP Marudi diketuai PBK I Eric Anak Unyi, dibantu Unit K9 SAR bersama anjing pengesan AP Bella, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Susulan penemuan semua mangsa, operasi SAR yang memasuki hari ketiga ditamatkan pada pukul 11.30 pagi.