
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memudah cara penyenaraian dwi tawaran awam permulaan (IPO), pengiktirafan bersama dana pelaburan serta peluasan peluang pelaburan rentas sempadan.
- Memeterai MoU mewujudkan rangka kerja praktikal bagi memudahkan penyenaraian utama dan sekunder antara kedua pasaran serta memperkukuh kerjasama kawal selia.
- Menawarkan pelbagai pilihan pelaburan termasuk syarikat tersenarai, ETF dan REIT di Bursa Hong Kong serta Bursa Malaysia.
- Menyokong Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk perkasakan hubungan serantau, tarikan pelabur antarabangsa jangka panjang dan pembangunan ekosistem pelaburan bersepadu.
Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kerjasama itu mewujudkan rangka kerja praktikal untuk memudahkan penyenaraian utama dan sekunder antara kedua-dua pasaran, selain memperkukuh kerjasama kawal selia.
“MoU ini turut menawarkan pelbagai pilihan pelaburan kepada pelabur di kedua-dua negara.
“Sebagai permulaan, Bursa Saham Hong Kong mempunyai lebih 2,900 syarikat tersenarai, dana dagangan bursa (ETF) dan amanah pelaburan hartanah (REIT), manakala Bursa Malaysia menawarkan lebih 1,130 instrumen seumpamanya,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Majlis Pemeteraian MoU antara SC dan SFC di sini hari ini.
Dokumen MoU itu ditandatangani Datuk Mohammad Faiz Azmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Julia Leung dan disaksikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Menurut Datuk Mohammad Faiz lagi, kerjasama itu menyokong aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan pasaran Malaysia dengan negara serantau, usaha menarik pelabur antarabangsa jangka panjang serta pembangunan ekosistem pelaburan lebih bersepadu.
Beliau berkata, Hong Kong merupakan rakan strategik yang sesuai berdasarkan kedudukannya sebagai antara pusat kewangan antarabangsa utama dunia, manakala Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pintu masuk ke ASEAN dan peneraju global dalam pasaran modal Islam.
“Gabungan kekuatan kedua-dua pasaran ini mampu mewujudkan laluan pelaburan yang menghubungkan ASEAN, China dan rantau Asia, sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan, pelabur dan industri di kedua-dua negara,” katanya.