
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Empat wakil negara gagal melepasi pusingan kedua Terbuka China selepas tewas kepada lawan masing-masing pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou, hari ini.
- Leong Jun Hao tewas kepada Weng Hong Yang 22-20, 11-21, 18-21 dalam 70 minit.
- Gandingan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik tersingkir selepas tewas kepada Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 16-21, 17-21.
- Chen Tang Jie-Clarissa San tewas kepada pilihan kedua China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 14-21, 19-21.
Perjalanan perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berakhir di pusingan kedua apabila gagal mempertahankan kelebihan selepas memenangi set pertama sebelum tewas kepada pemain tuan rumah, Weng Hong Yang 22-20, 11-21, 18-21 dalam tempoh 70 minit.
Sementara itu, gandingan baharu beregu lelaki negara Man Wei Chong-Soh Wooi Yik mengalami penyingkiran awal buat kali kedua berturut-turut selepas Terbuka Jepun minggu lalu apabila tewas kepada pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, 16-21, 17-21.
Dalam acara beregu campuran, pasangan baharu negara Chen Tang Jie-Clarissa San tewas dalam pertarungan tiga set kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 14-21, 19-21.
Sementara itu, pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan pilihan kelima dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, 21-23, 15-21.-BERNAMA