
SHANGHAI, 23 Julai — Pencapaian markah penuh dalam pertandingan matematik paling terkemuka di dunia sebelum ini hanya mampu dicapai oleh segelintir individu genius setiap tahun.
- Model AI daripada Huawei dan Xiaohongshu mengesahkan mencatat keputusan 100 peratus dalam soalan yang diberikan pada IMO bulan ini.
- Xiaohongshu berkata tiada model bahasa besar pernah mencapai skor sempurna di bawah penilaian rasmi IMO sebelum ini.
- Hanya tujuh peserta manusia meraih markah penuh daripada 666 peserta pada edisi tahun ini di Shanghai.
- Huawei memaklumkan sistem AI "Celia" menunjukkan kebolehan menyelesaikan masalah merentasi pelbagai bidang matematik.
Namun buat julung kalinya, kecerdasan buatan (AI) turut berjaya meraih markah penuh.
Dua syarikat teknologi terkemuka China, Huawei dan Xiaohongshu mengesahkan model AI masing-masing berjaya mencatatkan keputusan 100 peratus dalam menjawab soalan yang diberikan kepada peserta manusia pada Olimpik Matematik Antarabangsa (IMO) bulan ini.
Kedua-dua syarikat tersebut merupakan makmal AI terawal yang mengumumkan keputusan rasmi mereka, manakala beberapa makmal lain dari seluruh dunia dijangka menyusul dalam masa terdekat.
“Kami amat gembira dengan keputusan ini kerana untuk mencapai skor sempurna dalam IMO adalah satu cabaran yang amat sukar,” kata Xiaohongshu dalam satu kenyataan rasmi minggu ini.
Syarikat itu berkata sebelum ini, tiada model bahasa besar (LLM) yang pernah mencapai skor sempurna di bawah proses penilaian rasmi IMO.
Sebagai perbandingan, pada tahun 2025, model AI ciptaan syarikat gergasi seperti Google dan OpenAI hanya mampu mencapai tahap pingat emas buat kali pertama.
Namun masih belum dapat menandingi kebolehan lima peserta manusia yang mendapat markah penuh 100 peratus ketika itu.
Bagi edisi tahun ini, seramai 666 peserta dari pelbagai negara mengambil bahagian di Shanghai dan hanya tujuh peserta manusia sahaja yang berjaya meraih markah penuh mengikut papan keputusan rasmi IMO.
Huawei pula pada Rabu memaklumkan bahawa sistem AI milik mereka, “Celia”, telah menunjukkan kebolehan menyelesaikan masalah yang komprehensif merentasi pelbagai bidang matematik.- AFP