Tadbir urus cukai kini keutamaan komuniti perniagaan – LHDN

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 Julai– Kesedaran mengenai kepentingan tadbir urus cukai yang baik dilihat semakin meningkat dalam kalangan komuniti perniagaan dan profesional di negara ini, menurut Lembaga Hasil Dalam (LHDN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan seminar meningkat, menunjukkan minat komuniti perniagaan terhadap tadbir urus cukai.
  • Pematuhan cukai, pengurusan risiko dan ketelusan semakin ditekankan dalam strategi tadbir urus korporat.
  • Penganjuran seminar merupakan usaha berterusan LHDN memperkukuh pendidikan dan kefahaman percukaian.
  • LHDN terus mengukuhkan kerjasama dengan komuniti perniagaan dan profesional cukai untuk menyokong ekosistem perniagaan yang lebih telus.

Jelas agensi tersebut, perkembangan positif itu dipamerkan melalui peningkatan penyertaan dalam Seminar Harga Pindahan dan Tadbir Urus Cukai Korporat 2026 yang dianjurkan oleh LHDN dengan kerjasama strategik Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri (AIRA).

”Seminar berkenaan mencatat penyertaan lebih 1,300 peserta, meningkat 24 peratus berbanding 1,050 peserta pada tahun lalu.

”Peningkatan itu mencerminkan bahawa tadbir urus cukai yang baik bukan lagi sekadar memenuhi keperluan pematuhan, malah menjadi elemen penting dalam mengurus risiko dan isu percukaian lebih awal,” jelas LHDN dalam satu kenyataan.

Menurut LHDN, aspek pematuhan cukai, pengurusan risiko dan ketelusan dalam operasi perniagaan semakin diberi penekanan, mencerminkan pengurusan cukai kini sebahagian daripada strategi tadbir urus korporat.

Sementara itu, LHDN berkata penganjuran seminar itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LHDN untuk memperkukuh pendidikan dan kefahaman percukaian.

Tambahnya, ia selaras dengan Pelan Pendidikan Pembayar Cukai HASiL 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan, kesedaran dan kefahaman bagi membentuk budaya pematuhan cukai secara sukarela.

“LHDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti perniagaan dan profesional cukai bagi memastikan isu percukaian dapat difahami dan diurus dengan lebih baik melalui platform pendidikan dan perkongsian ilmu seperti ini, sekaligus menyokong pembentukan ekosistem perniagaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan berdaya saing,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.