Dua lelaki ditahan, lebih 1,600 bungkus air ketum dirampas

Kira-kira 1,695 bungkus air ketum dan 28.5 kilogram daun ketum bernilai RM5,454/Foto PGA Briged Tenggara

KEMAMAN, 23 Julai — Kegiatan memproses dan menjual air ketum terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan dua lelaki berusia 27 dan 44 tahun dalam Op Bersepadu Mitra di Bandar Baharu Cheneh, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 1,695 bungkus air ketum dan 28.5 kilogram daun ketum dirampas, nilai anggaran RM5,454.
  • Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.
  • Siasatan awal: bekalan diperoleh daripada individu diuruskan oleh bapa mentua; penghantar dibayar RM50 sehari; jual RM10 sebungkus.

Dalam operasi itu, kira-kira 1,695 bungkus air ketum dan 28.5 kilogram daun ketum dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,454.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang hasil risikan di sebuah rumah di Felda Neram 2.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah itu menemukan 705 bungkus air ketum, sebelum soal siasat terhadap seorang suspek membawa anggota ke lokasi kedua.

“Di lokasi kedua, anggota menemui 990 lagi bungkus air ketum yang disorokkan di bawah mangkuk tandas serta lima plastik hitam berisi daun ketum seberat 28.5 kilogram yang disembunyikan di bawah lantai rumah.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM5,454,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kedua-dua suspek positif syabu/Foto PGA Briged Tenggara

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek utama memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang individu yang diuruskan oleh bapa mentuanya.

Manakala seorang lagi suspek bekerja sebagai penghantar dengan upah RM50 sehari.

“Air ketum yang siap dibungkus dijual pada harga RM10 sebungkus kepada kenalan dan penduduk kampung berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.