
TUMPAT, 23 Julai — Dua beradik ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas disyaki menyeludup 1,000 anak pokok ros dari Thailand dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Jalan Batu Karang-Rantau Panjang, semalam.
- Suspek berusia 53 dan 59 tahun dipercayai membawa anak pokok ke Kuantan dengan upah RM600 setiap penghantaran.
- Pemeriksaan lori menemui anak pokok ros dipercayai masuk melalui laluan tidak diwartakan.
- Kedua-dua suspek mengemukakan satu invois apabila diminta dokumen berkaitan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976; tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
Kedua-dua suspek berusia 53 dan 59 tahun itu dipercayai membawa anak pokok berkenaan ke Kuantan dengan menerima upah RM600 bagi setiap penghantaran.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan terhadap lori yang dinaiki suspek menemukan 1,000 anak pokok ros dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui laluan tidak diwartakan.
“Kedua-dua suspek mengemukakan satu invois apabila diminta menunjukkan dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek yang juga adik-beradik bekerja sebagai pemandu lori.
“Suspek utama memaklumkan urusan mengambil bekalan anak pokok dibuat melalui seorang kenalan dikenali sebagai ‘Wak’, manakala lori yang digunakan adalah milik majikannya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Manakala tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.