Lelaki jual air ketum sejak 2018 dicekup PGA 48 liter dirampas

PGA merampas 48 liter air ketum dan menahan seorang lelaki yang mengaku menjualnya sejak 2018 kepada nelayan/Foto PGA Briged Tenggara

KUANTAN, 23 Julai — Seorang lelaki yang mengaku menjual air ketum sejak 2018 diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam serbuan Op Bersepadu Mitra di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan menemukan 48 bungkusan cecair ketum anggaran 48 liter, nilai rampasan RM1,840.
  • Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang; barang diserahkan kepada BSJND IPD Kuantan untuk tindakan lanjut.
  • Suspek mengaku bekalan diperoleh daripada 'Abe'; pelanggan nelayan; kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata suspek tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang hasil serbuan yang dijalankan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA.

Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sebuah tong ais mengandungi 48 bungkusan plastik berisi cecair kehijauan disyaki air ketum dengan anggaran keseluruhan 48 liter.

“Turut dirampas sebuah tong ais dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,840.

“Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku menjalankan kegiatan menjual air ketum sejak 2018 bagi menambah pendapatan.

“Suspek turut mengaku memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang individu yang hanya dikenali sebagai ‘Abe’.

“Manakala pelanggan terdiri daripada nelayan tempatan dengan urusan jual beli bermula seawal jam 5 pagi sehingga bekalan habis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.