
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Wakil Malaysia, Vamos, memulakan kempen Mobile Legends: Bang Bang Mid-Season Cup x Esports World Cup (MSC x EWC) dengan kemenangan bergaya apabila menewaskan Falcons MENA dari Arab Saudi 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Paris.
- Kelewatan penerbangan 12 jam menjejaskan persiapan pasukan menjelang perlawanan.
- Hanya satu sesi latihan ringan diadakan sebagai pemanas badan sebelum perlawanan.
- Kami tidak memandang rendah mana-mana pasukan dan menjangkakan corak permainan terbaik.
- Pasukan fokus perkemaskan aspek teknikal untuk mengekalkan momentum dan memperkukuh peluang mara.
Jurulatih Vamos, Afrindo Valentino berkata, kemenangan itu hadir meskipun pasukannya berdepan kelewatan penerbangan selama 12 jam yang menjejaskan persiapan menjelang perlawanan.
Katanya, masalah penerbangan itu menyebabkan pasukan hanya sempat menjalani satu sesi latihan ringan sebaik tiba di Paris sebagai persediaan menghadapi aksi pembukaan.
“Persiapan kami agak terjejas kerana berdepan masalah penerbangan yang menyebabkan kelewatan sehingga 12 jam. Jadi, kami hanya sempat membuat satu sesi latihan ringan pada waktu malam sebagai pemanas badan.”
“Kami sentiasa menganggap setiap lawan mempunyai kekuatan tersendiri. Justeru, kami tidak pernah memandang rendah mana-mana pasukan dan menjangkakan mereka akan mempamerkan corak permainan terbaik seperti yang ditampilkan ketika saingan wildcard,” katanya.
Walaupun berdepan kekangan persiapan, Vamos mempamerkan aksi mantap apabila menguasai kedua-dua permainan untuk menewaskan Falcons MENA dengan keputusan 2-0.
Kemenangan itu turut meletakkan Vamos dalam kedudukan terbaik untuk mengukuhkan peluang mara ke pusingan seterusnya apabila dijadual berdepan Team Spirit dari Rusia yang menewaskan Ignite Gaming dari Singapura 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Afrindo berkata, pasukannya kini akan memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan memperkemaskan corak permainan bagi mengekalkan momentum kemenangan dalam aksi seterusnya di pentas MSC x EWC.