Kempen Antibuli Pekarasa, Henti Buli, Mula Peduli sasar 5 juta belia

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari/Foto RTM

PUTRAJAYA, 22 Julai – Kempen Antibuli Pekarasa: Henti Buli, Mula Peduli menyasarkan penglibatan lima juta belia di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen nasional anjuran Kementerian Belia dan Sukan di bawah inisiatif Rakan Muda untuk membentuk belia peka dan bertanggungjawab.
  • Matlamat mengurangkan 35 peratus kes buli yang dilaporkan khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi menjelang tahun depan.
  • Pelancaran platform digital antibuli.my memudahkan laporan selamat, menyalurkan aduan kepada agensi berkaitan dan memberi sokongan kepada mangsa.

Ia merupakan satu gerakan nasional di bawah inisiatif Rakan Muda, anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS)

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penyertaan itu dijangka mengurangkan 35 peratus kes buli yang dilaporkan khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT)
menjelang tahun depan.

Inisiatif itu digerakkan susulan kebimbangan terhadap jumlah kes buli yang direkodkan tahun lalu mencecah kira-kira 7,000 kes.

Jelas beliau, KBS berhasrat membentuk generasi belia yang lebih peka, prihatin dan bersedia memainkan peranan aktif dalam mencegah serta menangani isu buli.

“Pada masa yang sama, kempen ini memupuk nilai keprihatinan dan rasa tanggungjawab sesama insan, di samping memperkasa belia untuk bertindak secara proaktif dalam mencegah, mengenal pasti dan menangani insiden buli, bukan sekadar menjadi pemerhati. .

“Kempen turut menggalakkan penggunaan saluran pelaporan serta mekanisme sokongan yang selamat, mudah diakses dan diyakini bagi membantu mangsa mendapatkan bantuan sewajarnya, sekali gus membendung kejadian buli daripada terus berulang,” katanya

Dr. Mohammed turut berkata, seiring dengan pelancaran kempen berkenaan, sebuah platform digital rasmi ‘antibuli.my’ dilancarkan.

Platform tersebut memberi ruang kepada individu yang berdepan dengan situasi buli untuk melaporkan terus dalam talian melalui saluran yang selamat dan dipercayai.

“Setiap aduan yang diterima akan disalurkan kepada pihak berkepakaran serta agensi berkaitan bagi tindakan lanjut.platform ini bukan sekadar tempat untuk membuat aduan, tetapi menjadi penghubung kepada mangsa untuk mendapatkan bantuan dan sokongan daripada pihak yang lebih pakar, termasuk melalui kerjasama dengan kementerian serta saluran sedia ada.”

“Keutamaan kita adalah membina kepekaan masyarakat terhadap isu buli. Ini merupakan langkah awal dalam usaha mengurangkan kadar kejadian buli secara menyeluruh,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan menerusi program jelajah ke sekolah, institusi pengajian tinggi serta penglibatan bersama inisiatif Rakan Muda bagi memperluas kesedaran dan mendekati golongan belia di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.