
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Atlet terjun Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazmi bertekad menamatkan kariernya si pentas Sukan Malaysia (SUKMA) dengan gemilang apabila menyasarkan dua pingat emas pada edisi 2026 di Selangor.
- Sasaran emas dalam acara 3 meter papan anjal individu dan 3 meter seirama.
- Turut bertanding dalam acara 1 meter papan anjal individu dan platform seirama campuran.
- Pengalaman antarabangsa termasuk Sukan SEA membantu beliau mengendalikan tekanan serta mengekalkan fokus memburu pingat.
- Selepas SUKMA, beliau akan bersama skuad negara ke Sukan Asia, enggan meletakkan sasaran pingat dan mahu menikmati pengalaman.
Temasya kali ini menjadi penampilan keempat dan terakhir buat penerjun berusia 21 tahun itu sebelum memberi tumpuan sepenuh kepada persaingan di peringkat antarabangsa.
Nurqayyum yang bakal beraksi dalam empat acara meletakkan sasaran meraih emas menerusi acara 3 meter papan anjal individu dan 3 papan anjal meter seirama, selain turut bertanding dalam acara 1 meter papan anjal individu serta platform seirama campuran.
“Sasaran saya ialah emas dalam acara 3 meter individu dan 3 meter seirama. Acara 1 meter pula dijangka lebih sengit. Kalau ada rezeki, saya tetap mengharapkan emas dalam acara itu juga.” katanya.
Pada edisi lalu di Sarawak, Nurqayyum menghadiahkan dua pingat emas menerusi acara 1 meter papan anjal individu dan 3 meter papan anjal seirama.
Namun mengakui cabaran kali ini dijangka lebih mencabar dengan kehadiran rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan yang turut berada pada pada tahap prestasi terbaik.
Menurutnya, pengalaman beraksi di pentas antarabangsa termasuk Sukan SEA menjadi bekalan berharga menghadapi persaingan di SUKMA, sekali gus membantunya menegekalkan fokus memburu pingat emas.
“Apa yang saya belajar ialah pengalaman itu amat penting. Selain itu, saya juga belajar bagaimana mengendalikan tekanan dan menikmati setiap pertandingan. Pada akhirnya, saya hanya mahu memberikan yang terbaik dan membanggakan semua orang,” katanya.
Selepas SUKMA, Nurqayyum dijadual meneruskan cabaran bersama skuad negara ke Sukan Asia yang bakal menjadi penampilan sulungnya di temasya berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan meletakkan sasaran pingat, sebaliknya mahu menikmati pengalaman beraksi di pentas terbesar Asia itu sambil memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama negara.