Piala ASEAN 2026: Aysar Hadi tekad membalas kepercayaan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 JulaiPanggilan pertama ke skuad kebangsaan menghadapi Piala ASEAN 2026 disifatkan sebagai satu penghormatan besar dalam kerier pemain pertahanan muda negara, Ahmad Aysar Hadi Shapri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aysar bertekad membalas kepercayaan dengan mempamerkan aksi terbaik sekiranya diturunkan.
  • Sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal; kesiapsiagaan membantunya menyesuaikan diri cepat bersama pemain berpengalaman.
  • Suasana latihan positif apabila pemain senior sentiasa membantu dan membimbing mempercepatkan proses keserasian pasukan.
  • Fokus menjadi diri sendiri dan beri komitmen penuh mengikut perancangan Ketua Jurulatih, tanpa memikirkan tekanan atau perbandingan.

Pemain berusia 23 tahun itu bertekad membalas kepercayaan yang diberikan dengan mempamerkan aksi terbaik sekiranya diturunkan beraksi bersama skuad senior negara.

Aysar berkata, beliau sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima panggilan ke kem latihan kebangsaan selepas mengetahui dirinya berada dalam senarai menunggu.

Menurutnya, persediaan rapi serta kesediaan untuk dipanggil pada bila-bila masa membantunya menyesuaikan diri dengan lebih cepat bersama barisan pemain berpengalaman dalam skuad kebangsaan.

“Alhamdulillah atas panggilan pertama daripada Ketua Jurulatih Tan. Dari segi persediaan mental, saya sentiasa menastikan diri berada dalam keadaan siap sedia kerana sedar saya berada dalam senarai menunggu. Jadi, apabila peluang itu tiba, saya sudah bersedia menyahut cabaran dan menyertai kem latihan pasukan kebangsaan,” katanya.

Walaupun belum mencatat sebarang penampilan bersama skuad senior, beliau mengakui peluang berlatih bersama pemain-pemain berpengalaman memberikan keyakinan kepadanya untuk terus meningkatkan prestasi.

Beliau turut menyifatkan suasana dalam kem latihan sangat positif apabila pemain senior sentiasa membantu dan membimbing pemain baharu bagi mempercepatkan proses keserasian dalam pasukan.

Dalam masa sama, Aysar tidak mahu memikirkan sebarang tekanan atau perbandingan selepas dipanggil menyertai skuad kebangsaan, sebaliknya memilih untuk kekal fokus dan memberikan sepenuh komitmen mengikut perancangan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan memberikan yang terbaik setiap kali berada di atas padang, apa sahaja tanggapan dan penilaian orang lain, terpulang kepada mereka, fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan mencapai kejayaan” katanya.

Beliau antara pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi tugasan antarabangsa akan datang, termasuk saingan Piala ASEAN 2026.

Sebelum ini, beliau menjadi tonggak utama benteng pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23, selain membantu Malaysia meraih pingat gangsa pada Sukan SEA tahun lalu.

Pemain kelahiran Johor itu turut memainkan peranan penting membantu JDT II muncul juara Piala MFL 2024-2025 dan Liga A1 Semi-Pro musim lalu, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pertahanan muda paling berpotensi di negara ini.

Selain Aysar, Harimau Malaya turut memiliki beberapa pilihan di posisi pertahanan termasuk Rodney Calvin dan Ubaidullah Shamsul yang dijangka bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama menjelang kempen Piala ASEAN 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.