KUALA LUMPUR, 22 Julai – Jabatan Penjara Malaysia menegaskan pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan membabitkan insiden kematian seorang penghuni (prospek), serta dakwaan layanan tidak wajar terhadap seorang lagi penghuni di dua institusi penjara di lokasi yang berlainan.
- Akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.
- Komitmen memastikan penghuni dilayan mengikut undang-undang, peraturan, SOP dan prinsip tadbir urus yang baik.
- Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan sehingga siasatan selesai.
Jabatan itu menerusi kenyataan memaklumkan kerjasama diberikan bagi memastikan segala fakta dapat diperolehi secara menyeluruh, telus dan mengikut lunas undang-undang.
“Jabatan ini menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan menunggu hasil siasatan pihak polis sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara ini.
“Semua perkara yang dibangkitkan kini dalam siasatan pihak polis,” menurut kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa komited dalam memastikan setiap penghuni institusi penjara dilayan mengikut peruntukan undang-undang, peraturan, prosedur operasi standard (SOP), serta prinsip tadbir urus yang baik.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan yang dijalankan pihak berkuasa selesai.
Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menggesa siasatan yang telus berhubung insiden kematian seorang penghuni di sebuah penjara dekat Seremban, selain mendakwa wujud layanan tidak wajar terhadap seorang lagi penghuni di penjara Simpang Renggam.