GEAR-uP selaras pelaburan GLIC dalam sektor ekonomi strategik

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Penyelarasan hala tuju pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan dana awam menerusi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) bagi memastikan pelaburan tersebut sejajar dengan keutamaan pembangunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerangka Ekonomi MADANI dipandu dasar seperti NIMP 2030, NSS, NETR dan RMK-13 sebagai panduan pelaburan GLIC.
  • GEAR-uP gabungkan enam GLIC dan diperluas kepada 37 GLC mulai 2025 sebagai platform penyelarasan strategik.
  • Pelan tiga fasa: pelancaran dana dan peningkatan DDI pada 2025, hasil pelaburan mula memberi impak syarikat dan pekerjaan pada 2026.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata penyelarasan itu berpaksikan kerangka Ekonomi MADANI serta dipandu oleh dasar pembangunan negara termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menurut beliau, GEAR-uP berperanan sebagai platform penyelarasan strategik bagi menggerakkan komitmen pelaburan domestik.

“GEAR-uP yang diperkenalkan pada Ogos 2024 menggembleng enam GLIC utama iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melaksanakan komitmen Pelaburan Langsung Domestik (DDI) berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028, di samping RM440 bilion pelaburan sedia ada dalam pasaran awam domestik,” katanya.

Beliau berkata mulai 2025, penyelarasan itu diperluaskan kepada 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan GEAR-uP terus berfungsi sebagai platform penyelarasan strategik.

Menurutnya, pelaburan GLIC memberi tumpuan kepada sektor High-Growth, High-Value (HGHV) yang berpotensi menjana pulangan mampan kepada pencarum dan pemegang unit amanah, selain menggalakkan penyertaan modal swasta (crowding-in).

Liew berkata pelaksanaan program itu berkembang mengikut tiga fasa utama.

“Pada 2024, kerajaan bersama GLIC menetapkan hala tuju dan memeterai komitmen.

“Pada 2025, modal mula digerakkan menerusi pelancaran dana seperti Jelawang Capital, Dana Perintis, Dana Pemacu dan Dana Iklim+, selain peningkatan hampir tiga kali ganda Pelaburan Langsung Domestik (DDI) ekosistem GLIC berbanding 2024.

“Kini pada 2026, hasil pelaburan tersebut mula diterjemahkan pada peringkat syarikat dan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara mengenai dasar dan mekanisme yang digunakan bagi menyelaras hala tuju pelaburan GLIC dan dana awam agar selari dengan keutamaan pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.