
LINGGI, 22 Julai – Keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama kepada ahli politik atau calon Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh kempen dilihat sebagai langkah memastikan penyampaian ilmu agama kekal dalam ruang yang sewajarnya.
- Keutamaan menghormati proses pilihan raya dengan mengekalkan masjid dan surau sebagai tempat ibadah, bukan platform kempen.
- Cadangan agar penceramah politik mengambil cuti atau menghentikan aktiviti ceramah sepanjang tempoh kempen.
- Permintaan supaya perkara ini diberi keutamaan bagi mengelakkan institusi agama menjadi medan kempen politik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia sebagai tanda menghormati proses pilihan raya, selain memastikan institusi masjid dan surau kekal sebagai tempat ibadah serta tidak digunakan sebagai platform berkempen.
“Sepatutnya, sejak awal lagi kita meminta mereka menghentikan sementara atau bercuti daripada aktiviti berkenaan sepanjang tempoh kempen bagi menghormati proses pilihan raya.
“Saya berharap perkara ini diberi keutamaan kerana kita tidak mahu masjid dan surau dijadikan medan untuk menyampaikan ceramah yang mempunyai unsur kempen pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Bersama Tokmin di Rumah Rakyat Permatang Pasir, di sini.
Terdahulu media melaporkan JHEINS menggantung sementara tauliah mengajar agama kepada ahli politik atau calon PRN Negeri Sembilan sepanjang tempoh kempen bagi mengelakkan institusi agama dijadikan sebagai pentas politik.