Belanda larang import produk dari penempatan haram Israel

Penempatan haram Israel di Hebron, Tebing Barat/Foto REUTERS

ISTANBUL, 21 Julai – Belanda menjadi negara terbaharu yang akan mula menguatkuasakan larangan terhadap import dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki bermula 22 September, kata Menteri Luar Tom Berendsen kepada Parlimen pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menganggap penempatan haram melanggar undang-undang antarabangsa dan langkah itu bertujuan menghalang perdagangan menyokong kelangsungan penempatan.
  • Larangan meliputi produk pertanian seperti avokado, kurma, oren, anggur dan herba segar, serta produk dari Bukit Golan termasuk wain.
  • Syarikat yang cuba mengelak akan berdepan tindakan pendakwaan; dasar sejak 2006 terhadap urus niaga menyumbang kepada penempatan diteruskan.
  • Belanda antara negara EU yang memperkenalkan sekatan peringkat nasional; Belgium, Sepanyol, Slovenia dan Ireland turut meluluskan larangan serupa.

Syarikat yang cuba mengelak daripada mematuhi sekatan itu juga akan berdepan tindakan pendakwaan mulai tarikh berkenaan.

Kerajaan Belanda menganggap penempatan haram rejim Zionis di wilayah yang diduduki sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan memaklumkan langkah itu bertujuan menghalang aktiviti perdagangan daripada menyumbang kepada kelangsungan penempatan tersebut.

Import dari penempatan haram itu terutamanya daripada produk pertanian seperti avokado, kurma, oren, anggur dan herba segar.

Larangan itu turut meliputi produk dari Bukit Golan yang diduduki, sebuah wilayah yang terkenal dengan pengeluaran wain.

Nilai perdagangan tahunan yang melibatkan wilayah berkenaan dianggarkan mencecah puluhan juta euro namun jumlah sebenar sukar ditentukan.

Majoriti ahli Parlimen Belanda telah lama menggesa larangan import dari penempatan haram Israel, manakala kerajaan terdahulu berjanji pada musim panas tahun lalu untuk mengambil tindakan.

Kerajaan semasa mengumumkan langkah itu pada Mei lalu dan mendapatkan pandangan segera daripada Majlis Negara.

Berendsen berkata pandangan itu tidak memerlukan sebarang pindaan terhadap dekri sekatan, sekali gus membolehkan ia berkuat kuasa pada September.

Dasar yang dilaksanakan sejak 2006 bagi menghalang syarikat Belanda daripada menjalankan urus niaga yang menyumbang kepada pembinaan atau penyelenggaraan penempatan haram itu juga akan terus dikuatkuasakan.

Belanda merupakan antara negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenalkan sekatan di peringkat nasional ketika negara anggota masih berbeza pendapat mengenai larangan import di seluruh blok itu.

Belgium meluluskan larangan import yang serupa pada 18 Julai, manakala Sepanyol dan Slovenia turut melaksanakan langkah sama.

Manakala Parlimen Ireland pula meluluskan larangan tersebut pada 15 Julai. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.