
ISTANBUL, 21 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang membuat persiapan untuk mengenakan tarif baharu terhadap puluhan negara seawal minggu ini.
- Rancangan gantikan tarif global 10% dengan kadar baru 10 hingga 12.5 peratus bagi sekitar 60 negara.
- Pentadbiran gunakan siasatan Seksyen 301 terhadap amalan buruh paksa untuk mempertahankan tarif, bukan kuasa kecemasan Mahkamah Agung.
- Tarif tumpu kepada negara berkaitan buruh paksa; siasatan lain tentang lebihan kapasiti melibatkan EU, China, India, Jepun, Mexico, Korea Selatan dan Asia Tenggara.
Menurut laporan The Financial Times, pegawai AS telah merangka pelan bagi menggantikan tarif global 10 peratus yang bakal tamat tempoh dengan kadar tarif baharu, berkemungkinan antara 10 peratus hingga 12.5 peratus ke atas kira-kira 60 negara.
Berbanding bergantung pada kuasa kecemasan yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS, pentadbiran Trump akan menggunakan siasatan ke atas amalan buruh paksa di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 untuk mewajarkan langkah tersebut.
Siasatan tambahan kelak boleh menyokong kadar tarif yang lebih tinggi, menurut laporan itu.
Trump terus meluaskan agenda tarifnya, baru-baru ini mengumumkan tarif 50 peratus ke atas barangan Kanada serta levi 25 peratus ke atas import dari Brazil.
Tindakan terbaharunya ini menyusuli keputusan Mahkamah Agung awal tahun yang membatalkan tarif timbal balas yang diperkenalkan Trump pada April 2025, sekali gus mencetuskan pergolakan dalam pasaran dunia.
Di sebalik tabir, pegawai kanan menggesa Trump agar mengekalkan kestabilan dengan rakan dagang dan mematuhi perjanjian perdagangan yang dicapai pada 2025.
Malah, mereka turut melonggarkan beberapa cadangan tarif terdahulu dengan mengecualikan barangan pengguna utama serta mengurangkan duti ke atas produk berkaitan keluli dan aluminium.
Usaha memperhebat dasar perdagangan itu dibuat ketika ketegangan dengan Iran semakin memuncak, yang menyebabkan harga minyak di AS meningkat melebihi US$4 segelen serta menambah tekanan terhadap kos sara hidup isi rumah.
Tinjauan pendapat awal bulan ini mendapati lebih dua pertiga pengundi AS tidak berpuas hati dengan cara beliau mengendalikan isu kos sara hidup, selepas beliau berulang kali berjanji semasa kempen pilihan raya untuk menurunkan harga barangan.
Tarif yang dicadangkan itu akan menyasarkan negara-negara yang dikaitkan dengan amalan buruh paksa, manakala satu lagi siasatan berasingan mengenai lebihan kapasiti pembuatan melibatkan beberapa ekonomi termasuk Kesatuan Eropah (EU), China, India, Jepun, Mexico, Korea Selatan dan beberapa negara Asia Tenggara. – BERNAMA