
COLOMBO, 21 Julai – Sebanyak 53 kematian dan 76,044 jangkitan denggi direkodkan di Sri Lanka sejak Januari lalu, dengan lebih 18,000 kes dilaporkan dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini.
- Tentera digerakkan untuk membantu mengekang wabak denggi terburuk dalam hampir sedekad.
- Hospital awam terjejas teruk; tambah katil, tukar fungsi wad dan lanjutan waktu bertugas kakitangan perubatan.
- Varian virus lebih ganas mendorong lonjakan kes, memberi cabaran besar kepada petugas perubatan.
- Dron digunakan kesan takungan air; ribuan tapak pembiakan dibersihkan dan denda dikenakan; jangkitan dijangka berkurang selepas monsun reda.
Jumlah jangkitan itu semakin menghampiri rekod lebih 100,000 kes yang dicatatkan ketika wabak denggi melanda negara itu pada 2017.
Sri Lanka mengerahkan tenteranya bagi membantu mengekang wabak denggi yang disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh hampir sedekad.
Langkah itu dibuat ketika hospital awam berdepan peningkatan mendadak kemasukan pesakit susulan penularan varian virus yang lebih ganas.
Pakar perubatan, Lalindra Dias berkata, peningkatan itu memberi cabaran besar kepada petugas perubatan.
“Pihak hospital terpaksa menambah katil, menukar fungsi wad dan melanjutkan waktu bertugas doktor serta jururawat bagi menangani pertambahan pesakit,” katanya di Negombo, antara kawasan paling teruk terjejas.
Hospital daerah tempat Dias bertugas merawat hampir 1,800 pesakit sejak Jun, berbanding kira-kira 1,050 pesakit sepanjang 2025.
Denggi lazimnya menyebabkan demam panas, sakit badan dan hilang selera makan, namun Sri Lanka masih belum memperkenalkan vaksin bagi penyakit itu.
Dalam usaha menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk, dron milik tentera udara digunakan untuk mengesan takungan air di atas bumbung selepas hujan.
Kementerian Kesihatan memaklumkan hampir 11,000 lokasi pembiakan nyamuk dibersihkan bulan ini, manakala denda dikenakan terhadap lebih 4,000 premis.
Pegawai kesihatan menjangkakan jumlah jangkitan akan berkurangan apabila hujan monsun reda pada Ogos. – REUTERS