Dua rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat

Tingkap sebuah rumah penduduk Palestin yang rosak selepas diserang penduduk Israel di Deir Jarir, timur Ramallah, Tebing Barat.

RAMALLAH, 20 Julai – Dua lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel ketika sekumpulan penduduk Israel menyerang sebuah kampung di Tebing Barat yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan seorang penduduk cedera dalam serangan lewat Ahad.
  • Tentera Israel kata mereka melepaskan tembakan selepas mendakwa penduduk membaling batu dan bongkah konkrit ke arah pasukan keselamatan.
  • Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza; sekurang-kurangnya 1,090 rakyat Palestin terbunuh, menurut kementerian.

Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Odeh Abdul Rahim Odeh Farakhna, 53, dan Ahmad Adel Rashid Abu Mkhou, 26, yang maut akibat tembakan tentera Israel di bandar Deir Jarir.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula memaklumkan seorang lagi penduduk cedera dalam serangan yang berlaku lewat Ahad.

Tentera Israel mengesahkan anggotanya melepaskan tembakan selepas mendakwa kononnya penduduk Palestin membaling batu dan bongkah konkrit ke arah pasukan keselamatan yang dihantar bagi mengiringi keluar sekumpulan penduduk Israel yang memasuki kawasan itu untuk mengambil ternakan.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Deir Jarir, Eid Hamad, mendakwa kumpulan penduduk Israel itu cuba membawa lari ternakan milik penduduk kampung sebelum berlaku konfrontasi dengan belia tempatan.

Menurutnya, tentera Israel kemudian campur tangan dan melepaskan tembakan sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza tercetus, dengan kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan serangan hampir setiap hari oleh penduduk Israel ke atas komuniti Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,090 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.