
GUA MUSANG, 20 Julai – Seorang pemuda dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaikinya dipercayai terbalik di Sungai Galas berhampiran Kampung Batu 6, Renok, di sini, petang tadi.
- BBP Gua Musang dikerahkan selepas menerima panggilan kecemasan dari PDRM pada pukul 2:16 petang.
- Operasi SAR dilancarkan menggunakan kaedah Surface Water Rescue dan disokong Pasukan Penyelamat Di Air serta Unit K9 JBPM.
- Operasi melibatkan 10 anggota BBP Gua Musang dengan FRT, dua pacuan empat roda, EMRS dan sebuah bot.
Mangsa, Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, dilaporkan tidak dapat dihubungi sebelum pihak polis menemukan bot terbalik di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 2:16 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan menggunakan kaedah Surface Water Rescue selepas menerima taklimat daripada pihak polis.
“SAR turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)bagi memperluas operasi pencarian mangsa,” katanya.
Operasi membabitkan 10 anggota BBP Gua Musang dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah bot.