Industri plastik dijangka terus berdepan cabaran

Pemain industri plastik disaran mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan automasi serta mengoptimumkan kos operasi bagi kekal kompetitif

KUALA LUMPUR, 20 Julai Industri pembuatan plastik Malaysia dijangka terus berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar sepanjang tahun ini, susulan ketidaktentuan harga bahan mentah akibat konflik di Asia Barat serta risiko pelaksanaan duti tambahan oleh Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidaktentuan harga menekan perancangan pengeluaran dan menimbulkan risiko inventori bahan mentah dibeli pada kos tinggi.
  • Cadangan AS mengenakan duti import 10 hingga 12.5 peratus membimbangkan, berpotensi menjejaskan eksport Malaysia.
  • Pemain industri disaran mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan automasi dan mengoptimumkan kos operasi.
  • Kerajaan (MITI dan Kementerian Ekonomi) akan meneliti cadangan MPMA untuk menangani tekanan rantaian bekalan.

Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), Cheah Chee Chon berpandangan peningkatan ketidaktentuan itu memberi tekanan terhadap operasi syarikat khususnya aspek perancangan pengeluaran serta kawalan kos.

“Sesetengah pengeluar mungkin membeli bahan mentah dalam kuantiti yang banyak ketika harga tinggi. Namun, ketika harga tiba-tiba jatuh, mereka terperangkap dengan inventori bahan mentah yang dibeli pada kos yang lebih tinggi. Jadi, keadaan ketika ini sangat mencabar,”katanya menerusi temu bual eksklusif bersama RTM.

Tambah beliau, cadangan AS untuk mengenakan duti import tambahan antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas beberapa negara turut menimbulkan kebimbangan kepada industri plastik tempatan.

“Sekiranya tiada penyelesaian atau persetujuan dapat dicapai dengan Amerika Syarikat, Malaysia mungkin bakal dikenakan tarif import tertentu apabila mengeksport produk ke AS.

“Perkara itu boleh memberi kesan kepada ekonomi Malaysia serta ekonomi global. Itulah antara cabaran yang saya jangka masih akan dihadapi oleh industri plastik Malaysia,”jelasnya lagi.

Sehubungan itu, pemain industri plastik disaran mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan automasi serta mengoptimumkan kos operasi bagi kekal kompetitif di pasaran.

Sebelum ini, AS mencadangkan pengenaan duti import tambahan ke atas import daripada 60 negara selepas mendakwa negara terlibat gagal membendung perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, selain isu berkaitan subsidi kerajaan dan pematuhan piawaian alam sekitar.

Minggu lepas, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memutuskan supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi meneliti cadangan dikemukakan Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) dalam menangani tekanan rantaian bekalan global dan kenaikan kos bahan mentah.

Sementara itu Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam Taklimat Krisis Bekalan Global memaklumkan, industri plastik merupakan industri sokongan kepada banyak sektor.

Pada 2025, nilai jualannya berjumlah RM62.69 bilion, berbanding RM64.78 bilion pada tahun sebelumnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.