
BUKIT MERTAJAM, 12 Ogos — Pemerkasaan secara agresif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan bagi melahirkan bakat yang mampu menerajui inovasi masa depan.
- Teknologi pesat seperti robotik, AI, automasi, IoT dan keselamatan siber menuntut penyesuaian pendidikan tinggi dan latihan teknikal.
- Pembangunan bakat masa depan berteraskan inovasi, pendigitalan, kelestarian dan kerjasama industri selaras Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035.
- POLYCC menjadi pemangkin pembelajaran, memupuk penyelidikan gunaan, inovasi, keusahawanan teknologi dan hubungan rapat dengan industri.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, langkah itu penting seiring perkembangan pesat pelbagai teknologi termasuk robotik, Kecerdasan Buatan (AI), automasi pintar, Internet Benda (IoT) dan keselamatan siber.
Katanya, tumpuan turut diberikan terhadap pembangunan bakat masa depan yang berteraskan inovasi, pendigitalan, kelestarian serta kerjasama dengan industri selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
“POLYCC bukan sahaja melahirkan graduan berpengetahuan, malah berprestasi tinggi dalam kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan berdaya inovasi.
“POLYCC kini menjadi pemangkin ekosistem pembelajaran yang merangsang penyelidikan gunaan, inovasi, keusahawanan teknologi serta kolaborasi rapat pihak industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Inovasi dan Eksplorasi STEM Politeknik dan Kolej Komuniti (KIES@POLYCC) 2026 di Politeknik Seberang Perai, di sini.
Karnival itu disertai 1,020 pelajar daripada 28 sekolah rendah, 22 sekolah menengah serta 20 institusi POLYCC dari seluruh negara.
Turut mengambil bahagian ialah 59 peserta antarabangsa daripada tiga institusi pendidikan di Indonesia.