Dagangan Jun 2026 catat nilai bulanan tertinggi mencecah RM340.9 bilion

Pencapaian menjadikan lebihan dagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion pada Jun 2026/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Jun 2026, disokong pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import dengan jumlah dagangan meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebihan dagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion, menjadi lebihan ke-74 berturut-turut sejak Mei 2020.
  • Eksport meningkat 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion manakala import naik 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion.
  • Eksport semula 22.1 peratus naik 48.7 peratus kepada RM39.3 bilion, eksport domestik 77.9 peratus naik 44.6 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan menyebut nilai bulanan tertinggi baharu itu didorong oleh pertumbuhan eksport sebanyak 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion, manakala import meningkat 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion.

“Pencapaian itu menjadikan lebihan dagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion pada Jun 2026, lebihan yang ke-74 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

”Eksport semula, yang merangkumi 22.1 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 48.7 peratus tahun ke tahun kepada RM39.3 bilion.

“Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 77.9 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 44.6 peratus kepada RM138.6 bilion,”menurut kenyataan itu.

DOSM turut menyatakan peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (RM18.1 bilion), diikuti Singapura (RM8.1 bilion), China (RM5.4 bilion), Taiwan (RM3.1 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.7 bilion), Jepun (RM2.6 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion).

“Peningkatan import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (RM15.8 bilion), diikuti Singapura (RM10.0 bilion), Repulik Korea (RM4.6 bilion), Amerika Syarikat (RM4.2 bilion), Taiwan (RM3.5 bilion), India (RM2.2 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM2.2 bilion).

“Pertambahan import mengikut penggunaan akhir didorong oleh permintaan kukuh bagi ketiga-tiga komponen iaitu barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan,”katanya lagi.

Kenyataan turut memaklumkan import barangan perantaraan yang merangkumi 52.4 peratus daripada jumlah import melonjak 41.3 peratus atau RM24.9 bilion kepada RM85.4 bilion.

Sementara itu, import barangan modal yang menyumbang 14.8 peratus daripada jumlah import pula meningkat 67.4 peratus kepada RM24.2 bilion, manakala import barangan penggunaan bersamaan 6.8 peratus daripada jumlah keseluruhan import meningkat 17.2 peratus, berjumlah RM11.0 bilion berbanding Jun 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.