
KOTA BHARU, 20 Julai – Demam bola sepak dunia jelas dirasai di Kelantan apabila lebih 1,000 pengunjung membanjiri program tayangan layar gergasi sempena Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di perkarangan RTM Kelantan, Wakaf Che Yeh, awal pagi tadi.
- Suasana meriah dengan peminat pelbagai lapisan umur menyaksikan perlawanan akhir bersama.
- RTM Kelantan menyediakan ruang selesa dan selamat untuk tontonan beramai-ramai.
- Program menjadi platform mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat perpaduan.
- Kejayaan penganjuran dijangka menjadi pemangkin kepada program berimpak tinggi dan hubungan akrab bersama masyarakat.
Program tersebut berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran peminat daripada pelbagai lapisan umur yang bersama-sama menyaksikan aksi kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.
Timbalan Pengarah RTM Kelantan, Muhammad Aiman Yusoff berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan minat mendalam masyarakat terhadap sukan bola sepak.
Selain menunjukkan program seumpama ini mampu menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan.
“Kehadiran orang ramai seawal pukul 9 malam lagi menggambarkan keterujaan peminat untuk bersama-sama merasai kemeriahan perlawanan akhir dalam suasana komuniti.
“RTM Kelantan berbangga dapat menyediakan ruang yang selesa dan selamat kepada orang ramai untuk menikmati detik bersejarah tersebut secara beramai-ramai,” katanya pada Program Layar Gergasi sempena Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di sini.
Tambahnya, kejayaan penganjuran program itu akan menjadi pemangkin kepada RTM Kelantan untuk terus menganjurkan lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan.
Sekali gus merapatkan lagi hubungan antara penyiar awam dan masyarakat setempat.