Prospek hartanah masih positif, banyak peluang untuk pembeli rumah pertama

Foto janaan AI /RTM

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Prospek pasaran hartanah negara bagi separuh kedua 2026 dilihat kekal positif dengan pelbagai peluang pemilikan dan pelaburan masih tersedia, khususnya kepada golongan muda serta pembeli rumah pertama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masih banyak kediaman mampu milik di pasaran sekunder dan lelong, menawarkan pilihan untuk pembeli rumah pertama.
  • Harga rumah tidak semestinya terlalu mahal; persepsi itu tidak mencerminkan keseluruhan situasi pasaran.
  • Terdapat opsi harga bawah RM200,000 hingga RM300,000 dan bayaran bulanan sekitar RM1,200 hingga RM1,500.
  • Pengukuhan kedudukan kewangan dan pengurusan baik meningkatkan kelayakan serta kemampuan memanfaatkan peluang pelaburan menjelang 2027.

Penganalisis hartanah, Datuk Ahyat Ishak, berkata persepsi bahawa harga rumah semakin mahal tidak mencerminkan realiti pasaran kerana masih terdapat banyak kediaman mampu milik tersedia, terutama di pasaran sekunder dan lelong.

“Sebenarnya masih banyak rumah yang berharga bawah RM200,000 hingga RM300,000 di pasaran sekunder dan lelong. Dengan bayaran bulanan sekitar RM1,200 hingga RM1,500, pemilikan rumah masih berada dalam jangkauan ramai rakyat Malaysia,” katanya kepada RTM di Angkasapuri.

Menurut beliau, tumpuan yang berlebihan terhadap cabaran pemilikan rumah menyebabkan ramai terlepas pandang peluang sebenar yang wujud dalam pasaran hartanah ketika ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu memberi perhatian kepada pengukuhan kedudukan kewangan peribadi dan keluarga bagi meningkatkan kelayakan memiliki hartanah serta memanfaatkan peluang pelaburan yang tersedia.

Tambahnya, pengurusan kewangan yang baik membolehkan lebih ramai memanfaatkan peluang pemilikan dan pelaburan hartanah menjelang 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.