Pahang raih tangga pertama Indeks Perpaduan Nasional 2025

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/ Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail

RAUB, 10 Ogos – Pahang muncul sebagai negeri dengan tahap perpaduan tertinggi di Malaysia apabila meraih tangga pertama Indeks Perpaduan Nasional 2025 sekali gus mencerminkan keharmonian dan hubungan erat antara rakyatnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wan Rosdy: pencapaian itu amanah yang mesti dipertahankan demi memastikan keharmonian negeri terus utuh.
  • Kejayaan mencerminkan rakyat Pahang mengamalkan sikap saling menghormati, membantu dan mempercayai antara satu sama lain.
  • Kepelbagaian masyarakat perlu menjadi kekuatan, bukan punca perpecahan, bagi memacu pembangunan negeri bersama.
  • Raub dan Lipis tersenarai dalam kelompok 10 bandar paling bahagia Malaysia; pencapaian ini perlu dipertahankan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pencapaian itu bukan sekadar untuk dibanggakan sebaliknya satu amanah yang perlu dipertahankan demi memastikan keharmonian negeri terus utuh.

“Bukan senang untuk mendapat tempat pertama dalam indeks ini kerana ia diukur daripada pelbagai sudut termasuk perkembangan hubungan antara kaum dan laporan berkaitan pertelingkahan kaum.

“Alhamdulillah negeri Pahang mengatasi negeri-negeri lain dengan menduduki tempat pertama,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan menggambarkan kehidupan rakyat Pahang yang mengamalkan sikap saling menghormati, membantu dan mempercayai antara satu sama lain.

Katanya, kepelbagaian masyarakat tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya kekuatan untuk rakyat bergerak bersama dalam membangunkan negeri.

Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Rosdy berkata perpaduan merupakan asas penting bagi memastikan Pahang kekal aman, terus maju dan menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Selain itu, Pahang turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila bandar Raub dan Lipis masing-masing tersenarai dalam kelompok 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun ini.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan perlu turut dipertahankan dengan memastikan keharmonian dan perpaduan terus menjadi kekuatan rakyat Pahang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Raub, di sini.

Majlis itu turut menyaksikan penyertaan kira-kira 5,000 peserta dalam acara larian dan brisk walk sejauh 2.7 kilometer.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.