
KANGAR, 10 Ogos – Kebajikan masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Kangar terus menjadi keutamaan pemimpin setempat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif prihatin.
- Program Ziarah Kasih menyantuni lebih 140 keluarga termasuk pesakit, warga emas, OKU, keluarga kurang berkemampuan dan mangsa bencana.
- Pelaksanaan berkala merangkumi semua lima kawasan DUN dalam Parlimen Kangar, diselaraskan oleh penyelaras DUN dan JPKKP.
- Penyerahan dari rumah ke rumah membolehkan pertemuan langsung, kenal pasti masalah sebenar serta mengukuhkan hubungan persaudaraan dan sikap hormat dalam masyarakat.
Sejak diperkenalkan pada Januari lalu, Program Ziarah Kasih telah berjaya menyantuni lebih 140 keluarga melibatkan golongan memerlukan termasuk pesakit, warga emas, keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), keluarga kurang berkemampuan serta mangsa bencana dan kematian ahli keluarga.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, program tersebut dilaksanakan secara berkala melibatkan kesemua lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kangar.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu diselaraskan oleh Penyelaras DUN masing-masing dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).
Tambahnya, pendekatan penyerahan sumbangan secara terus dari rumah ke rumah dilihat lebih proaktif kerana membolehkan pihaknya bersemuka dengan penerima selain mengenal pasti permasalahan sebenar yang dihadapi.
“Selain meringankan beban, usaha ini juga mampu mengukuhkan hubungan persaudaraan serta membudayakan sikap hormat-menghormati dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih sekitar Kampung Wang Besar, Kampung Jarak dan Kampung Asam Bungkas di DUN Bintong.
Dalam program tersebut, sumbangan berupa kerusi roda, lampin pakai buang, tongkat serta saguhati disampaikan kepada empat keluarga yang memerlukan bantuan.